PERJUANGAN
KESATUAN MELAYU MUDA (KMM) SEBAGAI
SEBUAH KESATUAN POLITIK DI TANAH MELAYU 1938 HINGGA 1945.
Pendahuluan.
Sekitar
tahun 1930an, perkembangan politik tanahair telah mengalami perubahan besar
kerana pada waktu itu politik Melayu telah berpecah kepada dua aliran yang
berlainan fahaman dan perjuangan. Di satu pihak berfahaman kanan yang
kebanyakannya terdiri dari orang-orang yang berpelajaran Inggeris, kalangan
orang pertengahan dan kelas atasan. Mereka
dari segi ideologinya berdasarkan konsep “Malaya untuk orang Melayu”. Usaha-usaha
golongan ini telah mencapai sedikit kejayaan apabila mereka berjaya menubuhkan
beberapa persatuan Melayu negeri pada akhir tahun 1930an.[1]
Antaranya ialah Persatuan Melayu Perak yang ditubuhkan pada 18 September 1937,
diikuti oleh Persatuan Melayu Pahang pada Mac 1938, Persatuan Melayu Selangor
pada Jun 1938 dan seterusnya setiap persatuan Melayu telah wujud di setiap
negeri.[2]
Manakala di pihak satu lagi ialah
mereka yang berfahaman atau aliran kiri atau bersifat radikal. Aliran kanan dalam
perjuangan politiknya berkompromi dengan
British, sebaliknya aliran kiri mempunyai dasar yang tidak mahu bekerjasama dengan British, malah
mereka menentang segala tindak tanduk penjajah di negara ini.[3]
Kebanyakan daripada golongan kiri adalah dari kelas bawahan yang berpendidikan
Melayu lepasan MPSI dan berpendidikan Inggeris.[4]
Antaranya ialah Ibrahim Yaakub yang kemudiannya menjadi Yang Dipertua Kesatuan Melayu
Muda (KMM), Abd. Karim Rashid, Hassan
Manan, Mohd Isa Mahmud (lepasan MPSI), Mustafa Hussain, Othman Mohd Nor, Ishak
Haji Muhammad, Sulung Chik, Onan Siraj dan Ahmad Boestamam (berpendidikan
Inggeris).[5]
Di
sekitar awal tahun 1937, beberapa orang dari kumpulan ini telah mengadakan
pertemuan dan perbincangan mengenai cara
mana perjuangan politik mereka supaya lebih berkesan dan mencapai matlamatnya.
Akhirnya mereka telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah organisasi politik.
Maka dengan itu tertubuhlah KMM pada 1937 atas daya usaha mereka.[6] Jelas pembentukan KMM tercetus dari hasil
usaha golongan nasionalis Melayu yang
berjiwa progresif revolusioner. Dengan penubuhan KMM yang berhaluan kiri, sesungguhnya telah
membawa satu era baru dalam perkembangan politik tanahair sebelum merdeka.
Penubuhan
KMM
Penubuhan
KMM bermula seawal-awalnya pada awal tahun 1937 apabila sekumpulan
pemuda-pemuda Melayu lepasan MPSI mengadakan pertemuan dan perbincangan setiap
hujung minggu mengenai penubuhan sebuah persatuan Melayu yang akan mereka
dirikan.[7]
Pemuda-pemuda tersebut mengadakan perbincangan di beberapa tempat di Kuala
Lumpur antaranya ialah di rumah Othman Mohd Nor (rumah kerajaan) di Sentul,
rumah Abdul Aziz di Kampung Baru dan rumah Hassan Manan di Jalan pasar.[8]
Kemudiannya pada bulan Mac 1937, mereka
telah mengadakan mesyuarat khas di Boarding House (Malay Hostel) di Kampung Baru.
Di dalam mesyuarat tersebut, mereka telah menjemput Ibrahim Yaakub untuk hadir
sama yang kemudiannya dilantik sebagai Pengerusi Agung dan telah diterima oleh
beliau dengan janji akan menarik anggota-anggota gerakan pelajar SITC (Sultan Idris Training College) di seluruh Malaya dan Borneo Utara ke dalam
persatuan tersebut.[9]
Mesyuarat
agung tahunan pertama telah diadakan di Sekolah Melayu Gombak Lane, Kuala
Lumpur pada bulan Mei 1937 dan di dalam mesyuarat itu atas cadangan Abd. Samad Ahmad nama Belia Malaya telah ditukar kepada
Kesatuan Melayu Muda (KMM). [10]
Oleh
itu KMM secara rasminya adalah sebuah pertubuhan
politik secara berorganisasi pertama di negara
ini. Semasa penubuhan tersebut Mustafa
Husain tidak terlibat dan perlantikannya sebagai Naib Yang Dipertua berlaku
dalam mesyuarat agung kali ke 2 yang juga berlangsung di Sekolah Melayu Gombak
Lane, Kuala Lumpur pada bulan Ogos 1938.[11]
Mengenai soal penubuhan KMM, terdapat beberapa perselisihan pendapat mengenai
tarikh penubuhannya. Menurut Mustafa Husain tarikh sebenar penubuhan KMM ialah pada tahun
1938 dan bukan pada bulan Mei 1937 seperti yang didakwa oleh Ibrahim Yaakub dan
beberapa pemimpin-pemimpin lain. Ini berdasarkan pada soal pendaftaran di mana beliau
sendiri yang menguruskan pendaftarannya iaitu berlaku pada tarikh yang sama,
selang 4 bulan dari tarikh penubuhannya.[12]
Soal
kedua ialah mengenai kewujudan belia Malaya sebelum penubuhan KMM. Menurut
Othman Mohd Nor iaitu setiausaha KMM bahagian Selangor melalui suratnya kepada
Mustafa Husain mengatakan dakwaan bahawa telah kewujudan Belia Malaya sebelum
KMM adalah tidak benar. Menurutnya, sepanjang pengetahuannya cuma KMM sahaja
satu-satunya badan yang diakui oleh rakyat Melayu dan sah didaftarkan pada masa itu. Ini diakui
sendiri oleh Mustafa Husain bila ditanya tentang hal ini.[13]
Sebenarnya kita bernasib baik kerana
beberapa orang pengasas KMM masih hidup selepas merdeka dan memberitahu kita
bahawa maksud sebenar KMM ialah “Kesatuan Melayu Merdeka” seperti yang di
terangkan oleh Mustapha Hussain, bahawa KMM perlu didaftarkan sebagai satu
badan sosial kerana jika rahsia ia ditubuhkan atas dasar politik diketahui
mungkin KMM tidak boleh didaftarkan langsung.[14]
[1] W.R. Roff, Nasionalisme
Melayu, Kuala Lumpur , Universiti Malaya, 2005, hlm 244.
[2] Kemuncak dari
kegiatan politik golongan ini ialah apabila mereka berjaya mengadakan
kongresnya sebanyak dua kali iaitu pada 8 Ogos 1939 di Kuala Lumpur dan sekali
lagi pada 25 dan 26 Dis 1940 di Singapura. Antara tokoh yang berjuang di pihak
ini ialah Dato Onn Jaafar yang kemudiannya menubuhkan Parti UMNO sebagai
mewakili orang-orang Melayu dalam tuntutan kemerdekaan dari British. Lihat, Shaharum Husain, Perjuangan
Politik Dato Onn Jaafar, Petaling Jaya, Fajar Bakti, 1985, hlm 67.
[3] Abdul Rahman
Mat, Politik
Bangsa Melayu, Petaling Jaya, Pustaka Adabi, 1976, hlm 28.
[4] Ishak Saat, Sejarah Politik Melayu Pelbagai Aliran, Shah
Alam, Karisma Publications Sdn.Bhd, 2007, hlm 85.
[5] Golongan mereka
inilah yang paling lantang bersuara dalam menyatakan rasa tidak puas hati
terhadap kedudukan bangsa Melayu dan tanahair waktu itu. Mereka inginkan
kebebasan semua orang-orang Melayu yang tertindas khasnya mereka yang masih
jauh ketinggalan dalam lapangan ekonomi dan politik. “Tujuan kumpulan ini juga
untuk menyatukan seluruh orang-orang Melayu dan Indonesia di Kepulauan Melayu
di Asia Tenggara ini dengan maksud untuk dasar Kesatuan Melayu Raya.” Lihat, Ishak Saat, Sejarah Politik Melayu…, hlm84-85
[6] Abdul Rahman
Haji Ismail, Perjuangan Kemerdekaan Dan
Nasionalisme Melayu:Wacana Persejarahan Dalam Nasionalisme dan Revolusi Di
Malaysia dan Indonesia, Pulau Pinang, Penerbit USM, 2006, hlm 64
[7] Insun Sony
Mustapha, Memoir Mustapha Hussain :Kebangkitan Nasionalisme Melayu sebelum UMNO,
Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1999, hlm 208.
[8] Hasil dari
perbincangan yang selalu diadakan oleh pemuda-pemuda progresif tersebut yang
antaranya ialah Hamzah Alang, Mustafa Kamel, Othman Mohd Nor, Abdul Karim
Rashid, Hassan Manan, Sulung Chik, Bahar Abit, Onan Siraj, Idris Hakim, Abd.
Aziz dan lain-lain, mereka telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah kesatuan
dengan nama Persatuan Belia Malaya. Lihat, Insun Sony Mustapha, Memoir
Mustapha Hussain :Kebangkitan Nasionalisme Melayu sebelum UMNO, Kuala
Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1999, hlm 208-209.
[9]Kemudiannya
Othman Mohd Nor telah dilantik sebagai setiausaha dan ahli jawatankuasanya
ialah Idris Hakim, Onan Siraj, Ghazali Hj. Hashim, Sulung Chik, Raja Aula,
Bahar Abit, Abd. Karim Rashid, Hassan Manan, Abdullah Kamel dan Abu Majid
Ismail. Tidak lama kemudian ahli jawatankuasa tersebut telah bertambah dengan
kemasukan Abd. Samad Ahmad, Abdullah Thani, Salehuddin dan Melan Abdullah. Lihat, W.R. Roff, Nasionalis
Melayu…, hlm 244.
[10] Mengikut Abd. Samad Ahmad nama itu adalah
mengikut nama Turki Muda (Young Turks) dan bagi Ibrahim Yaakub sendiri sebagai
mencontohi pada Indonesia Muda. Menurut Ibrahim Yaakub, nama KMM adalah atas
cadangan Abd. Samad Ahmad pada beliau ketika mereka bertemu di pejabat Majlis
dan di Virasamy Road (rumah Ibrahim) yang kemudiannya dilaksanakan dalam
mesyuarat agung pada Mei 1937 di Sekolah Melayu Gombak Lane. Sebaliknya Mustafa
Husain mengatakan nama KMM adalah atas syor Sutan Jenain kerana pada
pendapatnya muda bermakna sesuatu yang baru, segar dan cergas. Sutan Jenain
juga turut hadir dalam penubuhan KMM tersebut.[10]
Walau apa nama sekalipun dan siapa yang mencadangkannya, itu bukanlah perkara
penting. Apa yang lebih penting ialah slogan yang diutarakan yang menunjukkan
perpaduan iaitu “ satu untuk semua dan semua untuk satu”. Lihat, Sony
Mustapha, Memoir Mustapha Hussain…, hlm 208-209.
[11] Ibrahim Haji
Yaakob, Melihat Tanah Air, Kuantan, Percetakan
Timur, 1971, hlm 15-16.
[12] Roslan Saadon, Gagasan Nasionalisme Melayu Raya;
Pertumbuhan Dan Perkembangan, Shah Alam, Karisma Publications Sdn. Bhd, 2009,
hlm 115.
[13] KMM merupakan
badan politik yang pertama ditubuhkan di Tanah Melayu. Pemimpin-pemimpin KMM
boleh berasa bangga sebab merekalah yang pertama sekali menggunakan perkataan
MERDEKA. KMM mempunyai nama sulit yang tidak diketahui umum iaitu Kesatuan
Melayu Merdeka dan nama ini hanya diketahui oleh beberpa orang sahaja dalam inner circle KMM.
Lihat , Insun Sony Mustapha, Memoir
Mustapha Hussain…, hlm 198.
[14] Abdul Rahman
Haji Ismail, Perjuangan Kemerdekaan Dan
Nasionalisme Melayu…, hlm 64.
But did KKM believe that all humans were Created equal. We know that Onn Jaafar believed in it and tried to do something about it but what was KKM standing. Was it to chase all out and go for Melayu Melaya or did they follow a higher socialist order
ReplyDelete