SEJARAH
RAKYAT DALAM MASYARAKAT MELAYU TRADISIOAL
Pengenalan
Isu-isu
penulisan sejarah dari bawah mula penting pada dekad Perang Dunia Kedua apabila
George Lefevre membuat kajiannya mengenai revolusi 1789 dan mengenakan istilah
sejarah dari bawah ini. Kajian seperti ini diperkembangkan lagi oleh ahli-ahli
sejarah barat yang lain, yang kebanyakkannya Marxist dan sosialis, yang telah
memberikannya berbagai definisi yang berbeza. Asa Briggs telah menggunakan
istilah sejarah orang biasa dan sejarah muka-muka di kalangan orang ramai
(faces in the crowd). Hobsbawm telah menggunakan istilah sejarah sosial. G.M.
Trevelyan pula menyebutkannya sebagai sejarah masyarakat tanpa politiknya.
Walaupun
sejarawan-sejarawan ‘sejarah dari bawah’ ini kesemuanya menumpukan kajian
mengenai rakyat bawahan, namun pendekatan dan tumpuan mereka berbeza-beza.
Malah wujud pula dua kumpulan yang bertentangan, satu dianggap sebagai golongan
elitis, yang menganggap orang-orang bawah hanya mempunyai motivasi, bersikap
defensive dan mundur, sedangkan orang atasan berpandangan ‘ ke hadapan’. Di
antara sejarawan yang mewakili golongan ini ialah George Rude’ yang menekankan
kepentingan “ otonomi orang ramai dan motivasi peserta-peserta” dalam sesuatu
revolusi. Dalam kajiannya beliau cuba menyelami pemikiran peserta-peserta itu,
yang baginya jelas mempunyai objektif untuk mempertahankan hak-hak adat
orang-orang miskin Britain yang bebas. Seperti Rude Hobsbawn juga berminat
mengkaji tentang revolusi orang bawahan, dan menumpukan kajian kepada pergerakan
perburuhan, dan perkembangan idea sosialis dan pertubuhan-pertubuhan mereka.
Tergolong juga dalam kumpulan ini adalah sejarawan –sejarawan yang menulis
tentang sejarah kaum-kaum, sejarah wanita dan sejarah kuantitatif.
Kumpulan
sejarawan dari bawah yang menentang golongan yang dikatakan elitis di atas,
ialah kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai ‘sejarawan kaki ayam’
(barefoot historians) yang terdiri dari peserta-peserta bengkel ‘sejarah
rakyat’ yang mencadangkan satu ‘sejarah pilihan’ (alternative history).
Tumpukan kajian mereka adalah orang-orang bawahan biasa yang mereka anggap
sebagai ‘ mangsa’ sejarah. Tujuan mereka adalah untuk mempopularkan sejarah
supaya ia menjadi lebih terbuka kepada masyarakat umum yang tidak terlalu
akademik. Mereka cuba melihat sejarah itu dari dalam diri orang-orang yang
mereka kaji dan juga dari persekitaran mereka. Mereka lebih suka menggunakan
sumber-sumber lisan ataupun sumber-sumber sejarah tradisional yang lain. Mereka
juga berpendapat bahawa sejarah itu adalah subjektif, dan pendekatannya
haruslah dilakukan secara berkumpulan dan merupakan aktiviti masyarakat. Oleh
kerana itu mereka menganggap kumpulan mereka ini lebih demokratik. Mereka
mengakui diri mereka sebagai sebahagian dari pergerakan sosial dan kebudayaan
yang bercita-cita untuk mengubah dan membebaskan masyarakat yang ada. Kumpulan
kedua ini popular di Jerman.
Perkembangan
pengaruh penulisan sejarah dari bawah di Negara-negara lain dipengaruhi oleh
perkembangan politik dunia akibat perang Dunia Kedua. Di Amerika Syarikat
tulisan-tulisan mengenai gerakan politik, kebudayaan dan ekonomi diberikan
penjelasan dari ta’kulan sosial. Di Negara-negara Asia dan Afrika, ia
dipengaruhi oleh kehendak untuk memahami sejarah tempatan dari penglibatan orang
tempatan itu sendiri dan bukan dari kaca mata penjajah atau orang Barat.
Perkembangan ini juga diakibatkan oleh pengenalan rancangan-rancangan pengajian
baru di peringkat university di Negara-negara dunia ketiga itu sendiri yang
mempopularkan sejarah sosial. Penyelidikan-penyelidikan mengenai petani-petani,
pengganas-pengganas ataupun kelompok-kelompok masyarakat tertentu menjadi fokus
kajian. Di universiti –universiti di Barat topik-topik kajian mengenai
orang-orang bawahan di Negara-negara ketiga juga popular kerana adanya
jabatan-jabatan pengajian yang baru seperti kajian Asia dan Afrika dan
berkembangnya pengaruh bidang anthropolofi dan sains kemasyarakatan ke dalam
bidang sejarah.
Topik
yang sangat popular menjadi kajian sejarawan Asia dan Afrika adalah yang
mempunyai paradigma : tradisi-modern, structural-fungsional, konsep ekonomi
moral’ pengganas sosial, dan kumpulan-kumpulan yang dianggap tertindas ataupun
dikatakan “orang-orang yang tidak pernah ada sejarah” seperti golongan hamba,
orang-orang nomad, wanita, penduduk setinggan, pekerja-pekerja kilang,
gerakan-gerakan melampau dalam masyarakat dan kaum-kaum dalam masyarakat dan
kaum-kaum dalam masyarakat majmuk.
Di
Malaysia, penulisan sejarah dari bawah kurang mendapat perhatian. Ia hanya mula
menular lewat pada 1970an apabila jabatan-jabatan sejarah di universiti-universiti
tempatan menggalakkan pelajar-pelajar mereka supaya membuat kajian dan
penyelidikan mengenai sejarah tempatan, iaitu sejarah micro, yang sebahagian
kecilnya telah diterbitkan. Pada 1980an, sarjana-sarjana sejarah menampakkan
kecenderungan untuk mengkaji gerakan protes dan pertentangan dari golongan
orang bawahan yang dihubungkan dengan perkembangan ekonomi. Kemudian kajian
lain menumpukan focus kepada masalah-masalah sosial berhubung dengan isu-isu
jantina, kelas dan perkauman, seperti yang terdapat dalam kajian Lai Ah Heng
berkenaan dengan petani-petani, golongan marhain dan pelacur-pelacur Cina di
Tanah Melayu semasa pemerintahan British. Pada 1988, Cheah Boon Kheng telah
menghasilakan sejarah tentang perompak-perompak tani di Kedah. Dalam
penjelasannya, beliau mengatakan bahawa “ kajian ini merupakan sejarah sosial
berkenaan dengan kawasan pendalaman kedah, ditulis dari bawah ……. Demikian juga
tulisan sekumpulan penulis-penulis dalam The Underside of Malaysian History.
Dalam pengenalannya, pengarang telah mengakui bahawa buku ini “ adalah setapak
kea rah sejarah orang ramai yang bertujuan untuk menyedarkan orang-orang
Malaysia kini tentang sumbangan nenek moyang mereka yang tidak pernah mendapat
sanjungan”, walaupun ada yang mengatakan bahawa terdapat juga tulisan di
dalamnya yang masih “ too clinical”, iaitu masih dilihat dari sudut pentadbir
dan bukan dari orang-orang yang dikaji.
Semua
tulisan sejarah dari bawah ini telah menggunakan sumber-sumber asli, seperti
yang terdapat dari Pejabat Tanah Jajahan di London, Pejabat Setiausaha
Negeri-Negeri Melayu, Pejabat Daerah, laporan tahunan dan juga temu bual dari
orang-orang setempat yang masih mengingati peristiwa-peristiwa yang dikaji.
Kebanyakan orang-orang bawahan yang menjadi tajuk kajian sendiri tidak memiliki
tinggalan bertulis, menyebabkan ahli sejarah agak sangsi akan keupayaan untuk
menulis sejarah mereka dari pandangan mereka sendiri, lantas mengistilahkannya
sebagai sejarah saya sendiri, kerana ia tidak boleh melarikan diri dari
nilai-nilai dan pengalamannya sendiri.
assalamualaikum tuan..boleh x tuan kongsikan sumber tuan sebab saya nak buat kajian penulisan sejarah dari bawah..terima kasih :)
ReplyDeleteBadriyah Haji Salleh, Penulisan Sejarah Dari Atas atau Bawah, dalam Seminar
DeleteKebagsaan Sejarah Malaysia 1945-57: Isu dan Perdebatan, Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia, 25-26 Oktober 2010.
Amarjit Kaur, Semenanjung Tanah Melayu Pada Abad Ke-19:Suatu Tinjauan Ekonomi
dalam Masyarakat Melayu Abad Ke-19, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, 1991.
Badriyah Haji Salleh, Sejarah Dari Bawah: Sejarah Rakyat Dalam Masyarakat Melayu
Tradisional Dalam Alam pensejarahan dari pelbagai perspektif, Penyelenggara: Badriyah Haji Salleh, Tan Liok Ee, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1996.
Drabble John H., An Economic History Of Malaysia,c. 1800-1990; The Transition To The
Modern Economic Growth, New York: Macmillan Press Ltd, 2000.
Terima kasih :)
DeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDelete