Tuesday, 24 January 2017

Penulisan Sejarah Dari Bawah

SEJARAH RAKYAT DALAM MASYARAKAT MELAYU TRADISIOAL

Pengenalan
Isu-isu penulisan sejarah dari bawah mula penting pada dekad Perang Dunia Kedua apabila George Lefevre membuat kajiannya mengenai revolusi 1789 dan mengenakan istilah sejarah dari bawah ini. Kajian seperti ini diperkembangkan lagi oleh ahli-ahli sejarah barat yang lain, yang kebanyakkannya Marxist dan sosialis, yang telah memberikannya berbagai definisi yang berbeza. Asa Briggs telah menggunakan istilah sejarah orang biasa dan sejarah muka-muka di kalangan orang ramai (faces in the crowd). Hobsbawm telah menggunakan istilah sejarah sosial. G.M. Trevelyan pula menyebutkannya sebagai sejarah masyarakat tanpa politiknya.

Walaupun sejarawan-sejarawan ‘sejarah dari bawah’ ini kesemuanya menumpukan kajian mengenai rakyat bawahan, namun pendekatan dan tumpuan mereka berbeza-beza. Malah wujud pula dua kumpulan yang bertentangan, satu dianggap sebagai golongan elitis, yang menganggap orang-orang bawah hanya mempunyai motivasi, bersikap defensive dan mundur, sedangkan orang atasan berpandangan ‘ ke hadapan’. Di antara sejarawan yang mewakili golongan ini ialah George Rude’ yang menekankan kepentingan “ otonomi orang ramai dan motivasi peserta-peserta” dalam sesuatu revolusi. Dalam kajiannya beliau cuba menyelami pemikiran peserta-peserta itu, yang baginya jelas mempunyai objektif untuk mempertahankan hak-hak adat orang-orang miskin Britain yang bebas. Seperti Rude Hobsbawn juga berminat mengkaji tentang revolusi orang bawahan, dan menumpukan kajian kepada pergerakan perburuhan, dan perkembangan idea sosialis dan pertubuhan-pertubuhan mereka. Tergolong juga dalam kumpulan ini adalah sejarawan –sejarawan yang menulis tentang sejarah kaum-kaum, sejarah wanita dan sejarah kuantitatif.

Kumpulan sejarawan dari bawah yang menentang golongan yang dikatakan elitis di atas, ialah kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai ‘sejarawan kaki ayam’ (barefoot historians) yang terdiri dari peserta-peserta bengkel ‘sejarah rakyat’ yang mencadangkan satu ‘sejarah pilihan’ (alternative history). Tumpukan kajian mereka adalah orang-orang bawahan biasa yang mereka anggap sebagai ‘ mangsa’ sejarah. Tujuan mereka adalah untuk mempopularkan sejarah supaya ia menjadi lebih terbuka kepada masyarakat umum yang tidak terlalu akademik. Mereka cuba melihat sejarah itu dari dalam diri orang-orang yang mereka kaji dan juga dari persekitaran mereka. Mereka lebih suka menggunakan sumber-sumber lisan ataupun sumber-sumber sejarah tradisional yang lain. Mereka juga berpendapat bahawa sejarah itu adalah subjektif, dan pendekatannya haruslah dilakukan secara berkumpulan dan merupakan aktiviti masyarakat. Oleh kerana itu mereka menganggap kumpulan mereka ini lebih demokratik. Mereka mengakui diri mereka sebagai sebahagian dari pergerakan sosial dan kebudayaan yang bercita-cita untuk mengubah dan membebaskan masyarakat yang ada. Kumpulan kedua ini popular di Jerman.

Perkembangan pengaruh penulisan sejarah dari bawah di Negara-negara lain dipengaruhi oleh perkembangan politik dunia akibat perang Dunia Kedua. Di Amerika Syarikat tulisan-tulisan mengenai gerakan politik, kebudayaan dan ekonomi diberikan penjelasan dari ta’kulan sosial. Di Negara-negara Asia dan Afrika, ia dipengaruhi oleh kehendak untuk memahami sejarah tempatan dari penglibatan orang tempatan itu sendiri dan bukan dari kaca mata penjajah atau orang Barat. Perkembangan ini juga diakibatkan oleh pengenalan rancangan-rancangan pengajian baru di peringkat university di Negara-negara dunia ketiga itu sendiri yang mempopularkan sejarah sosial. Penyelidikan-penyelidikan mengenai petani-petani, pengganas-pengganas ataupun kelompok-kelompok masyarakat tertentu menjadi fokus kajian. Di universiti –universiti di Barat topik-topik kajian mengenai orang-orang bawahan di Negara-negara ketiga juga popular kerana adanya jabatan-jabatan pengajian yang baru seperti kajian Asia dan Afrika dan berkembangnya pengaruh bidang anthropolofi dan sains kemasyarakatan ke dalam bidang sejarah.

Topik yang sangat popular menjadi kajian sejarawan Asia dan Afrika adalah yang mempunyai paradigma : tradisi-modern, structural-fungsional, konsep ekonomi moral’ pengganas sosial, dan kumpulan-kumpulan yang dianggap tertindas ataupun dikatakan “orang-orang yang tidak pernah ada sejarah” seperti golongan hamba, orang-orang nomad, wanita, penduduk setinggan, pekerja-pekerja kilang, gerakan-gerakan melampau dalam masyarakat dan kaum-kaum dalam masyarakat dan kaum-kaum dalam masyarakat majmuk.

Di Malaysia, penulisan sejarah dari bawah kurang mendapat perhatian. Ia hanya mula menular lewat pada 1970an apabila jabatan-jabatan sejarah di universiti-universiti tempatan menggalakkan pelajar-pelajar mereka supaya membuat kajian dan penyelidikan mengenai sejarah tempatan, iaitu sejarah micro, yang sebahagian kecilnya telah diterbitkan. Pada 1980an, sarjana-sarjana sejarah menampakkan kecenderungan untuk mengkaji gerakan protes dan pertentangan dari golongan orang bawahan yang dihubungkan dengan perkembangan ekonomi. Kemudian kajian lain menumpukan focus kepada masalah-masalah sosial berhubung dengan isu-isu jantina, kelas dan perkauman, seperti yang terdapat dalam kajian Lai Ah Heng berkenaan dengan petani-petani, golongan marhain dan pelacur-pelacur Cina di Tanah Melayu semasa pemerintahan British. Pada 1988, Cheah Boon Kheng telah menghasilakan sejarah tentang perompak-perompak tani di Kedah. Dalam penjelasannya, beliau mengatakan bahawa “ kajian ini merupakan sejarah sosial berkenaan dengan kawasan pendalaman kedah, ditulis dari bawah ……. Demikian juga tulisan sekumpulan penulis-penulis dalam The Underside of Malaysian History. Dalam pengenalannya, pengarang telah mengakui bahawa buku ini “ adalah setapak kea rah sejarah orang ramai yang bertujuan untuk menyedarkan orang-orang Malaysia kini tentang sumbangan nenek moyang mereka yang tidak pernah mendapat sanjungan”, walaupun ada yang mengatakan bahawa terdapat juga tulisan di dalamnya yang masih “ too clinical”, iaitu masih dilihat dari sudut pentadbir dan bukan dari orang-orang yang dikaji.


Semua tulisan sejarah dari bawah ini telah menggunakan sumber-sumber asli, seperti yang terdapat dari Pejabat Tanah Jajahan di London, Pejabat Setiausaha Negeri-Negeri Melayu, Pejabat Daerah, laporan tahunan dan juga temu bual dari orang-orang setempat yang masih mengingati peristiwa-peristiwa yang dikaji. Kebanyakan orang-orang bawahan yang menjadi tajuk kajian sendiri tidak memiliki tinggalan bertulis, menyebabkan ahli sejarah agak sangsi akan keupayaan untuk menulis sejarah mereka dari pandangan mereka sendiri, lantas mengistilahkannya sebagai sejarah saya sendiri, kerana ia tidak boleh melarikan diri dari nilai-nilai dan pengalamannya sendiri. 

Nasionalisme Melayu/Tanah Melayu/Malaysia:Pengertian dan Permulaan

Nasionalisme Melayu/Tanah Melayu/Malaysia:Pengertian dan Permulaan


Bangsa(nation):sekumpulan manusia yang berhak dari segi politik dan kedaulatan terhadap suatu wilayah politik atau Negara tertentu .

Nasionalisme: memperjuang kedaulatan dan kemerdekaan Negara bangsa daripada penjajahan asing.
Bangsa yang berdaulat ialah bangsa yang mengiktiraf hak dan kedaulatan rakyatnya untuk sama-sama menentukan watak dan hala tuju negara bangsanya.

Perjuangan kebangsaan dan kemerdekaan Melayu pada zaman silam sering diremehkan sebagai gerakan yang tidak bermakna dalam konteks sejarah nasionalisme tanahair. Penentangan terhadap kuasa asing pada zaman itu didakwa lebih didorong oleh kepentingan peribadi para pemimpin feudal yang mengutamakan matlamat menjaga kedudukan dan kepentingan mereka sendiri. Rakyat jelata yang terlibat dalam gerakan penentangan itu pula dikatakan hanya penurut perintah yang tidak mempunyai kesedaran politik atau menentang pencerobohan asing semata-mata kerana tidak gemarkan pembaharuan yang diperkenalkan oleh oleh kuasa asing.


Pertengahan kurun ke-20
‘Perjuangan Kebangsaan’ dan ‘faham kebangsaan’ diguna oleh : KMS,PASPAM,KMM

Nasionalisme Melayu: dibahagikan kepada istilah bangsa keturunan, bangsa budaya dan bangsa politik.

Bangsa keturunan
Bangsa atau kebangsaan yang terbentuk  secara semulajadi berasaskan keturunan,darah atau kelahiran seseorang.

Bangsa budaya
Merujuk  kepada  kebangsaan yg  ditentukan oleh budaya  atau cara hidup yang dianuti atau disepakati dalam amalan oleh sesuatu kelompok manusia yg membentuk sesuatu bangsa.Contohnya  bahasa,adat resam,adat istiadat dan agama. Bangsa budaya lebih anjal,terbuka dan subjektif.Sekiranya kebangsaan budaya sesuatu kelompok manusia itu kuat kerana mempunyai cirri yang mampu mempengaruhi orang lain atau menjadi ikutan pelbagai bangsa keturunan dalam tempoh yang panjang.Kebangsaan budaya boleh melebur tembok bangsa keturunan dan menyatukan mereka dalam satu kesatuan kebangsaan yang lebih besar.Contohnya proses pencinaan di Asia Timur dan proses pemelayuan di rantau Melayu.

Bangsa politik
Bangsa/kebangsaan yang dicipta secara sedar oleh sekumpulan manusia yang mungkin berbeza keturunan dan budaya tetapi menganggap diri mereka secara kolektif  satu bangsa yang berdaulat yg memiliki dan bertanggungjawab memelihara Negara dan kedaulatan politik mereka bersama.Ia bersifat subjektif dan diwujudkan untuk kepentingan politik bersama ahlinya.

Konsep Bangsa Malaysia

Konsep baru bagi rakyat berbilang kaum di negara ini. Apabila Persekutuan Tanah Melayu disytiharkan merdeka pada 31 Ogos 1957 dan Malaysia dibentuk pada 16 September 1963,maka lahirlah Negara dan bangsa Malaysia.Dikemukakan oleh Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad dalam ucapan beliau di Majlis Perniagaan Malaysia pada 28 Februari 1991. Bangsa Malaysia terdiri daripada masyarakat berbilang kaum yang berlainan bahasa,budaya, kepercayaan dan pendapat terhadap keduniaan. Bangsa Malaysia telah dibentuk melalui penggunaan satu bahasa kebangsaan serta pengamalan kebudayaan kebangsaan dan Rukun Negara dalam setiap bidang kehidupan.Pembentukan bangsa Malaysia merupakan hasil perjuangan kemerdekaan,pengisian kemerdekaan dan pengekalan kemerdekaan.

Tokoh Pejuang KMM-Ibrahim Yaakub.

Tokoh Pejuang  KMM
Perjuangan KMM banyak dipengaruhi oleh tokoh-tokoh yang tidak pernah kenal erti penat dan lelah malah sentiasa cekal dalam menghadapi cabaran yang mendatang. Mereka adalah tokoh yang sukar dicari ganti  iaitu Sutan Jenain, Onan Siraj, Hasan Haji Manan, Othman Mohd Noor, Idris Hakim, Ishak Haji Muhammad dan Abdul Karim Rashid. Namun penulisan ini memberi  fokus  kepada dua orang tokoh  yang memainkan peranan penting iaitu Ibrahim Yaakub (Yang Di Pertua KMM) dan Mustapha Hussain (Naib Yang Dipertua).

Ibrahim Yaakub.

Ibrahim Yaakub dilahirkan pada 1911 di Kampung Kertau, Temerloh, Pahang.[1] Beliau mendapat pendidikan awal di kampungnya dan seterusnya melanjutkan pelajaran di MPSI. Di sinilah beliau mula tertarik dengan soal-soal politik tempatan dan luar negeri waktu itu. Ini adalah dari usaha-usaha beliau mempelajari sejarah dan memerhatikan syarahan-syarahan dari guru-guru di MPSI seperti Abdul Hadi Haji Hassan, Harun Mohd Amin, Zaaba, Nurdin Haji Harun, Buyong Adil, O.T. Dussek dan sebagainya.[2] Menurutnya, syarahan-syarahan mereka telah mendorong beliau dan empat orang rakannya menyala-nyala perasaan nasional serta timbul rasa anti-imperealis.  Mereka belajar berpolitik melalui surat khabar persatuan sambil mendirikan kumpulan rahsia di antara sejumlah student Malaya Borneo Utara di MPSI.[3] Walaupun begitu kegiatan Ibrahim hanya terbatas pada rakan-rakan rapatnya sahaja dan sebahagian besar penuntut di maktab tersebut tidak mengetahui  tentang kegiatan mereka. Kegiatan  mereka terbatas disebabkan oleh peraturan dan disiplin yang terlalu ketat di maktab tersebut di mana setiap pelajar dan pensyarah sentiasa diawasi oleh British. Pergerakan tersebut diteruskan oleh Abd. Karim Rashid, Muda Muhd Amin, Abdullah Ibrahim dan lain-lain apabila Ibrahim keluar dari maktab tersebut.[4]

Tamat pengajian, Ibrahim telah berkhidmat sebagai guru di Bentong, Pahang. Di sini beliau telah memasuki Kelab Melayu dan menjawat jawatan sebagai setiausaha sehingga beliau berpindah ke Polis Depoh Kuala Lumpur pada 1934 atas permintaannya sendiri.[5] Oleh kerana semangat ingin membela kepentingan bangsa dan semangat anti Britishnya, menyebabkan timbul perselisihan dengan J.D. Hastey, Komandan Polis Depoh. Oleh itu, atas permintaannya sendiri pada November 1936, beliau telah meletak jawatan dan pada Januari 1937 dan beliau bekerja dengan akhbar Majlis di Kuala Lumpur dan memegang jawatan sebagai  pengarang.[6] Ketika semangatnya yang berkobar-kobar, peluang terbuka luas kepadanya apabila pada Mei 1937 beliau telah dilantik sebagai Yang Dipertua KMM. Beliau terus menerima tawaran itu kerana inilah masanya untuk bergiat dan berjuang dalam politik tanah air. Pada dasarnya perlantikan itu berdasarkan ketokohan yang ada padanya sebagai seorang wartawan dan bekas guru.[7] Dengan perlantikan itu bemulalah kariernya dalam bidang politik tanah air. Setelah dilantik sebagai Yang Dipertua KMM, langkah awalnya ialah bagaimana untuk mengembangkan kesatuan tersebut. Untuk itu beliau telah mengarahkan dan menghubungi Cikgu Md. Isa Mahmud supaya membentuk KMM negeri Melaka, Cikgu Jaafar Sidek di Negeri Sembilan dan meminta Encik Isahak Hj. Muhamad di Singapura serta KMM Selangor diuruskan oleh  Idris Hakim . [8] Ini merupakan perancangan awal, sedangkan usaha-usaha mengembangkan KMM bermula dengan nyata pada pertengahanan 1940. Ibrahim Yaakub telah  meninggalkan Kuala Lumpur pada 2 Jun 1940, untuk menjelajah ke seluruh negeri di Tanah Melayu dari Perlis dan Pattani sampai ke selatan Singapura hingga ke Pulau Riau selama lebih setahun, dengan tujuan menarik lebih ramai orang-orang Melayu menyertai KMM.[9]

Usaha-usaha awal beliau ini penuh dramatik kerana ke mana sahaja ia sentiasa di ekori dan diawasi oleh CID British.[10] Oleh itu, beliau menyamar sebagai wartawan untuk mengelakkan dari disyaki. Di setiap tempat yang dikunjungi itu beliau tidak putus-putus mengadakan syarahan yang membangkitkan kesedaran kebangsaan dan menyeru mereka agar menyertai KMM untuk kepentingan bangsa Melayu sendiri. Hasil dari usahanya selama lebih setahun  itu, telah membuahkan kejayaan di mana KMM berjaya membuka beberapa cawangan di Pulau Pinang, Melaka dan Sembilan negeri bersultan kecuali Perlis.[11] Sebelum penduduk Jepun, Ibrahim telah mengadakan hubungan secara langsung dengan pihak Jepun. Hubungan ini berlaku apabila Ibrahim menyedari bahawa Britian tidak berupaya untuk menghadapi tentera Jepun apabila Jepun menyerang Tanah Melayu. Untuk itu adalah lebih baik baginya bekerjasama dengan


Jepun.[12] Kerjasama KMM menyebabkan  pihak Jepun telah memberi tawaran kepada Ibrahim dengan pemberian wang yang besar untuk membolehkan Ibrahim membeli sebuah akhbar yang boleh digunakan untuk menjalankan propaganda anti British. Jepun juga telah  berjanji akan membantu KMM untuk mencapai kemerdekaan. Janji-janji ini telah terima oleh Ibrahim dan melalui pemberian wang sebanyak $18 ribu dari Jepun itu,  telah digunakan untuk membeli akhbar Warta Malaya pada Ogos 1941 yang kemudiannya digunakan oleh KMM untuk menjalankan kempen anti British melalui beberapa ruangan dalam akhbar tersebut.[13]

Apabila pihak British mengetahui Ibrahim mengadakan hubungan dengan Jepun dan tindak tanduk Ibrahim dan pemimpin-pemimpin KMM itu dianggap mengancam kerajaan, maka pada awal Disember 1941, beliau serta rakan-rakannya dalam KMM telah ditangkap dan dipenjarakan di Singapura. Ini bermakna sedikit sebanyak telah menjejaskan perjuangan  KMM. Walaupun begitu setelah Jepun menguasai seluruh Tanah Melayu dan Singapura,  Ibrahim telah dibebaskan oleh pihak Jepun. [14]

Pada tahun 1943, apabila Jepun menubuhkan tentera sukarela Giyu Gun (PETA) sekali lagi Ibrahim berperanan penting apabila beliau dilantik sebagai Leftenan Kolonel.[15] Dengan jawatan ini beliau telah berusaha untuk menarik lebih ramai orang-orang Melayu menganggotai pertubuhan baru tersebut. Dalam hal ini, dia memberikan keutamaan kepada tokoh-tokoh dan anggota-anggota KMM pimpinannya dalam pemilihan yang dijalankan setelah mempelawa mereka itu menerusi kawat terlebih dahulu. Sebenarnya dengan penubuhan Giyu Gun ini, memberi peluang kepada pemuda-pemuda Melayu khasnya anggota KMM untuk menimba pengalaman dan selok belok ketenteraan dan pentadbiran. [16]



[1] Ibrahim Yaakub juga terkenal dengan nama penanya sebagai IBHY, Silawatan dan Indera yang digunakan dalam penulisannya di Warta Malaya dan Majlis. Sementara di Indonesia pula beliau terkenal dengan nama Iskandar Kael dan nama penanya Agastja. Lihat,  Mashhor b. Kaslain, Perjuangan Kesatuan Melayu Muda dalam perkembangan politik Melayu 1937-45, Pulau Pinang, Universiti Sains Malaysia, 1986, hlm 50.
[2] Ibrahim Haji Yaakob,  Melihat Tanah Air…, hlm 30.
[3] Ibrahim Haji Yaakob, Melihat Tanah Air…, hlm 30.
[4] Insun Sony Mustapha,  Memoir Mustapha Hussain…,  hlm 208.
[5] Insun Sony Mustapha,  Memoir Mustapha Hussain…,  hlm 208-209.
[6] Ini adalah sesuai dengan jiwanya kerana beliau sebelum ini adalah seorang penulis. Pada masa inilah beliau berpeluang bergaul dan bertemu dengan tokoh-tokoh politik Indonesia seperti Sultan Jenain, Tan Melaka dan sebagainya sehingga menambahkan semangat anti kolonialismenya dan semngat ingin membebaskan tanah air dari penjajahan. Lihat,  W.R. Roff,  Nasionalisme Melayu…, hlm  254.
[7] W.R. Roff,  Nasionalisme Melayu…, hlm  253.
[8] W.R. Roff,  Nasionalisme Melayu…, hlm  254-255.
[9] Insun Sony Mustapha,  Memoir Mustapha Hussain…,  hlm 210.
[10] Beliau pernah dipanggil oleh seorang Pegawai Polis untuk diberi amaran atas kgiatan yang dilakukannya. Lihat, Roslan Saadon, Gagasan Nasionalisme Melayu Raya…, hlm 124.
[11] Firdaus Haji Abdullah, Radical Malay Politics; Its Origin And Early Development,  Petaling Jaya,  Pelanduk Publications, 1985, hlm 65.
[12] Cheah Boon Kheng, The Japanese Occupation Of Malaya,1941-1945:Ibrahim  Yaacob  and the struggle for Indonesia Raya, Pulau Pinang, Universiti Sains Malaysia, 1982, hlm  95-96.
[13] Cheah Boon Kheng, The Japanese Occupation Of Malaya…, hlm 98.
[14] Ramlah Adam,  Kemelut Politik Semenanjung Tanah Melayu,  Kuala Lumpur,  Penerbit Universiti Malaya, 1998,  hlm 110.
[15] Pasukan Giyu Gun dilatih supaya bersemangat tinggi, cintakan tanahair dan bersifat anti penjajah. Jesteru, terdapat 5 Prinsip yang diterapkan di dalam latihan yang perlu dihafal oleh pelatih Giyu Gun. Pertama, akan taat kepada empayar Nippon bagi mengatasi segala masalah. Kedua, akan menyerapkan dan menunjukkan semangat tentera Nippon. Ketiga, akan menjalani latihan dengan mengikut model askar Jepun. Keempat, akan mempertahankan semenanjung dengan pasukan  Maharaja sebagai penggeraknya. Kelima akan menyumbangkan tenaga ke arah kemakmuran Malaya dan Asia Timur Raya. Lihat, Roslan Saadon, Gagasan Nasionalisme Melayu Raya, hlm…129-130.
[16] Ramlah Adam, Kemelut Politik …, hlm 110-111.

PERJUANGAN KESATUAN MELAYU MUDA (KMM)


PERJUANGAN KESATUAN MELAYU MUDA (KMM)  SEBAGAI SEBUAH KESATUAN POLITIK DI TANAH MELAYU 1938 HINGGA 1945.

Pendahuluan.
Sekitar tahun 1930an, perkembangan politik tanahair telah mengalami perubahan besar kerana pada waktu itu politik Melayu telah berpecah kepada dua aliran yang berlainan fahaman dan perjuangan. Di satu pihak berfahaman kanan yang kebanyakannya terdiri dari orang-orang yang berpelajaran Inggeris, kalangan orang pertengahan dan kelas atasan. Mereka  dari segi ideologinya berdasarkan konsep “Malaya untuk orang Melayu”. Usaha-usaha golongan ini telah mencapai sedikit kejayaan apabila mereka berjaya menubuhkan beberapa persatuan Melayu negeri pada akhir tahun 1930an.[1] Antaranya ialah Persatuan Melayu Perak yang ditubuhkan pada 18 September 1937, diikuti oleh Persatuan Melayu Pahang pada Mac 1938, Persatuan Melayu Selangor pada Jun 1938 dan seterusnya setiap persatuan Melayu telah wujud di setiap negeri.[2]

              Manakala di pihak satu lagi ialah mereka yang berfahaman atau aliran kiri atau  bersifat radikal. Aliran kanan dalam perjuangan politiknya berkompromi dengan  British, sebaliknya aliran kiri mempunyai dasar yang  tidak mahu bekerjasama dengan British, malah mereka menentang segala tindak tanduk penjajah di negara ini.[3] Kebanyakan daripada golongan kiri adalah dari kelas bawahan yang berpendidikan Melayu lepasan MPSI dan berpendidikan Inggeris.[4] Antaranya ialah Ibrahim Yaakub yang kemudiannya menjadi Yang Dipertua Kesatuan Melayu Muda (KMM),  Abd. Karim Rashid, Hassan Manan, Mohd Isa Mahmud (lepasan MPSI), Mustafa Hussain, Othman Mohd Nor, Ishak Haji Muhammad, Sulung Chik, Onan Siraj dan Ahmad Boestamam (berpendidikan Inggeris).[5]

Di sekitar awal tahun 1937, beberapa orang dari kumpulan ini telah mengadakan pertemuan dan perbincangan  mengenai cara mana perjuangan politik mereka supaya lebih berkesan dan mencapai matlamatnya. Akhirnya mereka telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah organisasi politik. Maka dengan itu tertubuhlah KMM pada 1937 atas daya usaha mereka.[6]  Jelas pembentukan KMM tercetus dari hasil usaha golongan  nasionalis Melayu yang berjiwa progresif revolusioner. Dengan penubuhan KMM  yang berhaluan kiri, sesungguhnya telah membawa satu era baru dalam perkembangan politik tanahair sebelum merdeka.

Penubuhan KMM
Penubuhan KMM bermula seawal-awalnya pada awal tahun 1937 apabila sekumpulan pemuda-pemuda Melayu lepasan MPSI mengadakan pertemuan dan perbincangan setiap hujung minggu mengenai penubuhan sebuah persatuan Melayu yang akan mereka dirikan.[7] Pemuda-pemuda tersebut mengadakan perbincangan di beberapa tempat di Kuala Lumpur antaranya ialah di rumah Othman Mohd Nor (rumah kerajaan) di Sentul, rumah Abdul Aziz di Kampung Baru dan rumah Hassan Manan di Jalan pasar.[8]  Kemudiannya pada bulan Mac 1937, mereka telah mengadakan mesyuarat khas di Boarding House (Malay Hostel) di Kampung Baru. Di dalam mesyuarat tersebut, mereka telah menjemput Ibrahim Yaakub untuk hadir sama yang kemudiannya dilantik sebagai Pengerusi Agung dan telah diterima oleh beliau dengan janji akan menarik anggota-anggota gerakan pelajar  SITC (Sultan Idris Training College)  di seluruh Malaya dan Borneo Utara ke dalam persatuan tersebut.[9]

Mesyuarat agung tahunan pertama telah diadakan di Sekolah Melayu Gombak Lane, Kuala Lumpur pada bulan Mei 1937 dan di dalam mesyuarat itu  atas cadangan Abd. Samad Ahmad  nama Belia Malaya telah ditukar kepada Kesatuan Melayu Muda (KMM). [10]  Oleh  itu   KMM  secara rasminya adalah sebuah pertubuhan politik secara berorganisasi  pertama di negara ini. Semasa  penubuhan tersebut Mustafa Husain tidak terlibat dan perlantikannya sebagai Naib Yang Dipertua berlaku dalam mesyuarat agung kali ke 2 yang juga berlangsung di Sekolah Melayu Gombak Lane, Kuala Lumpur pada bulan Ogos 1938.[11] Mengenai soal penubuhan KMM, terdapat beberapa perselisihan pendapat mengenai tarikh penubuhannya. Menurut Mustafa Husain  tarikh sebenar penubuhan KMM ialah pada tahun 1938 dan bukan pada bulan Mei 1937 seperti yang didakwa oleh Ibrahim Yaakub dan beberapa pemimpin-pemimpin lain. Ini berdasarkan pada soal pendaftaran di mana beliau sendiri yang menguruskan pendaftarannya iaitu berlaku pada tarikh yang sama, selang 4 bulan dari tarikh penubuhannya.[12]

Soal kedua ialah mengenai kewujudan belia Malaya sebelum penubuhan KMM. Menurut Othman Mohd Nor iaitu setiausaha KMM bahagian Selangor melalui suratnya kepada Mustafa Husain mengatakan dakwaan bahawa telah kewujudan Belia Malaya sebelum KMM adalah tidak benar. Menurutnya, sepanjang pengetahuannya cuma KMM sahaja satu-satunya badan yang diakui oleh rakyat Melayu dan  sah didaftarkan pada masa itu. Ini diakui sendiri oleh Mustafa Husain bila ditanya tentang hal ini.[13]  Sebenarnya kita bernasib baik kerana beberapa orang pengasas KMM masih hidup selepas merdeka dan memberitahu kita bahawa maksud sebenar KMM ialah “Kesatuan Melayu Merdeka” seperti yang di terangkan oleh Mustapha Hussain, bahawa KMM perlu didaftarkan sebagai satu badan sosial kerana jika rahsia ia ditubuhkan atas dasar politik diketahui mungkin KMM tidak boleh didaftarkan langsung.[14]
           



[1] W.R. Roff,  Nasionalisme Melayu, Kuala Lumpur , Universiti Malaya,  2005,  hlm  244.
[2] Kemuncak dari kegiatan politik golongan ini ialah apabila mereka berjaya mengadakan kongresnya sebanyak dua kali iaitu pada 8 Ogos 1939 di Kuala Lumpur dan sekali lagi pada 25 dan 26 Dis 1940 di Singapura. Antara tokoh yang berjuang di pihak ini ialah Dato Onn Jaafar yang kemudiannya menubuhkan Parti UMNO sebagai mewakili orang-orang Melayu dalam tuntutan kemerdekaan dari British. Lihat,  Shaharum Husain,  Perjuangan Politik Dato Onn Jaafar, Petaling Jaya, Fajar Bakti, 1985, hlm  67.
[3] Abdul Rahman Mat,  Politik Bangsa Melayu, Petaling Jaya, Pustaka Adabi, 1976, hlm 28.
[4] Ishak Saat, Sejarah Politik Melayu Pelbagai Aliran, Shah Alam, Karisma Publications Sdn.Bhd, 2007, hlm 85.
[5] Golongan mereka inilah yang paling lantang bersuara dalam menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kedudukan bangsa Melayu dan tanahair waktu itu. Mereka inginkan kebebasan semua orang-orang Melayu yang tertindas khasnya mereka yang masih jauh ketinggalan dalam lapangan ekonomi dan politik. “Tujuan kumpulan ini juga untuk menyatukan seluruh orang-orang Melayu dan Indonesia di Kepulauan Melayu di Asia Tenggara ini dengan maksud untuk dasar Kesatuan Melayu Raya.”  Lihat,  Ishak Saat, Sejarah Politik Melayu…, hlm84-85
[6] Abdul Rahman Haji Ismail, Perjuangan Kemerdekaan Dan Nasionalisme Melayu:Wacana Persejarahan Dalam Nasionalisme dan Revolusi Di Malaysia dan Indonesia, Pulau Pinang, Penerbit USM, 2006, hlm 64
[7] Insun Sony Mustapha,  Memoir Mustapha Hussain :Kebangkitan Nasionalisme Melayu sebelum UMNO, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1999, hlm 208.
[8] Hasil dari perbincangan yang selalu diadakan oleh pemuda-pemuda progresif tersebut yang antaranya ialah Hamzah Alang, Mustafa Kamel, Othman Mohd Nor, Abdul Karim Rashid, Hassan Manan, Sulung Chik, Bahar Abit, Onan Siraj, Idris Hakim, Abd. Aziz dan lain-lain, mereka telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah kesatuan dengan nama Persatuan Belia Malaya. Lihat, Insun Sony Mustapha,  Memoir Mustapha Hussain :Kebangkitan Nasionalisme Melayu sebelum UMNO, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1999, hlm 208-209.
[9]Kemudiannya Othman Mohd Nor telah dilantik sebagai setiausaha dan ahli jawatankuasanya ialah Idris Hakim, Onan Siraj, Ghazali Hj. Hashim, Sulung Chik, Raja Aula, Bahar Abit, Abd. Karim Rashid, Hassan Manan, Abdullah Kamel dan Abu Majid Ismail. Tidak lama kemudian ahli jawatankuasa tersebut telah bertambah dengan kemasukan Abd. Samad Ahmad, Abdullah Thani, Salehuddin dan Melan Abdullah.  Lihat,  W.R. Roff,  Nasionalis Melayu…, hlm 244.
[10]  Mengikut Abd. Samad Ahmad nama itu adalah mengikut nama Turki Muda (Young Turks) dan bagi Ibrahim Yaakub sendiri sebagai mencontohi pada Indonesia Muda. Menurut Ibrahim Yaakub, nama KMM adalah atas cadangan Abd. Samad Ahmad pada beliau ketika mereka bertemu di pejabat Majlis dan di Virasamy Road (rumah Ibrahim) yang kemudiannya dilaksanakan dalam mesyuarat agung pada Mei 1937 di Sekolah Melayu Gombak Lane. Sebaliknya Mustafa Husain mengatakan nama KMM adalah atas syor Sutan Jenain kerana pada pendapatnya muda bermakna sesuatu yang baru, segar dan cergas. Sutan Jenain juga turut hadir dalam penubuhan KMM tersebut.[10] Walau apa nama sekalipun dan siapa yang mencadangkannya, itu bukanlah perkara penting. Apa yang lebih penting ialah slogan yang diutarakan yang menunjukkan perpaduan iaitu “ satu untuk semua dan semua untuk satu”. Lihat, Sony Mustapha,  Memoir Mustapha Hussain…, hlm 208-209.
[11] Ibrahim Haji Yaakob,  Melihat Tanah Air,  Kuantan, Percetakan Timur, 1971, hlm 15-16.
[12] Roslan Saadon, Gagasan Nasionalisme Melayu Raya; Pertumbuhan Dan Perkembangan, Shah Alam, Karisma Publications Sdn. Bhd, 2009,  hlm 115.
[13] KMM merupakan badan politik yang pertama ditubuhkan di Tanah Melayu. Pemimpin-pemimpin KMM boleh berasa bangga sebab merekalah yang pertama sekali menggunakan perkataan MERDEKA. KMM mempunyai nama sulit yang tidak diketahui umum iaitu Kesatuan Melayu Merdeka dan nama ini hanya diketahui oleh  beberpa orang sahaja dalam inner circle KMM. Lihat ,  Insun Sony Mustapha,  Memoir Mustapha Hussain…,  hlm 198.
[14] Abdul Rahman Haji Ismail, Perjuangan Kemerdekaan Dan Nasionalisme Melayu…, hlm 64.